Polis tiada kuasa halang perhimpunan aman – PPMM
KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan bahawa pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharam atau menghalang perhimpunan aman, sebaliknya bertanggungjawab memudah cara pelaksanaannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, PPMM memandang serius kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang memaklumkan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram sebagai ‘tidak dibenarkan’.
Presiden PPMM, Muhammad Hisham Marzuki berkata, hak berhimpun secara aman dijamin secara nyata di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata, tertakluk hanya kepada sekatan yang sah, munasabah dan selaras dengan Perlembagaan.
“Polis tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan atau menghalang perhimpunan aman selagi ia dijalankan secara aman dan tanpa senjata,” katanya.
PPMM turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Amir Hariri Abd Hadi lawan Pendakwa Raya yang menegaskan hak berhimpun secara aman bukan suatu keistimewaan yang bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa, sebaliknya merupakan hak perlembagaan yang wajib dihormati dan dilindungi.
“Selain itu, Mahkamah Persekutuan juga pernah memutuskan bahawa peruntukan undang-undang yang menjadikan kegagalan memberi notis perhimpunan aman sebagai suatu kesalahan jenayah adalah tidak berperlembagaan,” katanya.
Justeru tegasnya, keperluan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak boleh ditafsirkan sebagai kuasa untuk melarang perhimpunan atau menjadikannya tidak sah secara automatik.

PPMM menegaskan alasan bantahan daripada peniaga atau pihak berkepentingan di sekitar lokasi perhimpunan juga tidak boleh dijadikan justifikasi sah untuk melarang sesuatu perhimpunan aman, sambil merujuk keputusan Mahkamah Tinggi pada 2016 yang menolak cubaan Persatuan Peniaga Bazaar Masjid India menghalang perhimpunan Bersih dan Baju Merah.
Sehubungan itu, PPMM menyifatkan sebarang kenyataan bahawa perhimpunan aman adalah ‘tidak dibenarkan’ sebagai bercanggah dengan prinsip undang-undang perlembagaan dan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Menurut PPMM, peranan sebenar polis adalah untuk memudah cara hak berhimpun secara aman, menjaga keselamatan awam dan peserta perhimpunan serta memastikan ketenteraman awam tanpa menafikan hak perlembagaan rakyat.
“Pendekatan bersifat melarang, menakut-nakutkan atau mengugut penganjur serta peserta perhimpunan aman bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, malah merosakkan prinsip kedaulatan undang-undang dan demokrasi berperlembagaan,” tegas kenyataan itu.
Sehubungan itu PPMM menggesa pihak polis supaya mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan, serta mengamalkan pendekatan yang selari dengan prinsip hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur memaklumkan bahawa pihak polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang dijadualkan berlangsung di hadapan kompleks beli-belah Sogo, malam ini.
Keputusan itu dibuat berdasarkan risikan keselamatan serta maklum balas pihak berkepentingan, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.
Bagaimanapun, seorang penceramah bebas kontroversi yang juga penyelaras gerakan berkenaan, Zamri Vinoth semalam menegaskan bahawa perhimpunan itu tetap akan diteruskan.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa pihak polis akan bertemu penganjur bagi meminta perhimpunan tersebut dibatalkan, mengambil kira lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







