BERITA SEMASA

Karnival HPM buka peluang usahawan Sabah tembusi pasaran lebih luas

KOTA KINABALU – Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 menjadi platform penting dalam membantu usahawan tempatan memperluas pasaran, meningkatkan daya saing serta memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat.

Karnival yang berlangsung di Lintasan Deasoka di sini dari 23 hingga 25 Oktober lalu itu turut memperkukuh sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi kerjasama kerajaan, komuniti perniagaan dan masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan menggalakkan masyarakat setempat membuktikan kepentingan usaha berterusan dalam menyokong perkembangan komuniti usahawan.

Ewon Benedick berucap pada HPM yang berlangsung di Lintasan Deasoka dari 23 hingga 25 Oktober lalu.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, usahawan serta masyarakat perlu diperkukuh bagi membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih mampan dan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku penganjur yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk komuniti usahawan termasuk di Sabah.

“Inilah semangat yang kita mahukan, apabila kerajaan Persekutuan dan negeri, usahawan dan masyarakat bersama-sama menghebatkan perniagaan tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Majlis itu turut diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Dr. Mohd Ali Mansor.

Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar untuk melahirkan lebih ramai usahawan berikutan kepelbagaian produk dan keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan ke pasaran lebih luas.

Justeru, katanya, akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan dan peluang pasaran perlu terus diperluas bagi membantu perusahaan tempatan berkembang secara mampan.

Beliau turut menegaskan kepentingan menggalakkan penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan bagi melahirkan generasi usahawan baharu yang berani meneroka peluang dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan.

Majlis itu turut diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Dr. Mohd Ali Mansor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button