BERITA SEMASA

Pay Day Now inisiatif komersial swasta, bukan program kerajaan – KUSKOP

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menegaskan bahawa Pay Day Now merupakan inisiatif komersial yang dibangunkan sepenuhnya oleh pihak swasta, iaitu Ramsol Group dengan kerjasama AmBank, dan bukannya dasar, inisiatif atau program Kerajaan Malaysia mahupun kementerian itu.

KUSKOP dalam satu kenyataan berkata, kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, pada majlis pelancaran perkhidmatan itu semalam hanyalah atas jemputan sebagai saksi kepada pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ramsol Group dan AmBank.

Menurut kementerian, perkhidmatan Pay Day Now ditawarkan secara sukarela dan hanya melibatkan majikan yang memilih untuk menyertainya serta pekerja yang layak, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan.

“Sehubungan itu, kemudahan ini bukan merupakan satu kemudahan yang diwajibkan dan tidak melibatkan semua majikan atau pekerja di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KUSKOP turut memaklumkan bahawa orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan, kelayakan, syarat penyertaan atau ciri-ciri perkhidmatan Pay Day Now boleh menghubungi Ramsol Group atau AmBank secara terus.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button