KUSKOP anjur tausiyah Ramadan, hampir 700 warga hadir
KUALA LUMPUR – Hampir 700 warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menghadiri Perhimpunan Bulanan kementerian yang diserikan dengan tausiyah khas Ramadan oleh pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.

Tazkirah bertajuk “Ramadan Melatih Adab” itu menyentuh kepentingan pembentukan adab dan akhlak dalam kehidupan seharian, termasuk dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pengisian rohani seperti itu penting bagi memastikan warga kementerian bukan sahaja cemerlang dari segi prestasi kerja, malah memiliki sahsiah dan integriti yang tinggi.
“Ramadan adalah madrasah tarbiah yang mendidik kita tentang disiplin, amanah dan adab. Nilai-nilai ini perlu diterjemahkan dalam budaya kerja harian,” katanya dalam ucapannya di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin serta barisan pengurusan tertinggi kementerian.
KUSKOP berkata, penganjuran program itu merupakan kesinambungan usaha memperkukuh elemen spiritual dalam organisasi, selari dengan komitmen kepimpinan kementerian yang sebelum ini turut menganjurkan majlis ilmu seumpamanya ketika menerajui Kementerian Sumber Manusia.
“Kementerian komited menyeimbangkan pembangunan keusahawanan dan koperasi dengan pembentukan nilai murni dalam kalangan warga kerja.
“Melalui pengisian seperti ini, kita berharap dapat melahirkan warga kementerian yang bukan sahaja kompeten, malah berakhlak dan berintegriti tinggi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








