Tiga maut termasuk suami isteri dalam nahas di Kota Tinggi
KOTA TINGGI – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Honda BR-V dan Perodua Axia di Kilometer 31.2, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini petang tadi.
Mangsa yang maut ialah penumpang belakang Honda BR-V, Mohd Noor Selamat, 58, serta pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Axia, Mohd Herwan Alias, 38, dan Nur Ezazaya Mohd Ali, 34.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.20 petang apabila Honda BR-V dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia.
Menurutnya, Honda BR-V berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dan membawa dua penumpang lelaki, masing-masing berusia 58 tahun.
“Perodua Axia pula dipandu lelaki berusia 38 tahun bersama seorang penumpang wanita (isteri) berusia 34 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda BR-V dari arah Kota Tinggi ke Kluang terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Yusof berkata, penumpang belakang Honda BR-V dan penumpang hadapan Perodua Axia mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu Perodua Axia yang turut mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Pemandu serta penumpang hadapan Honda BR-V pula mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Semua mayat mangsa yang terlibat telah dirujuk ke Unit Forensik HKT bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Azri Yusof berkata, seramai enam anggota bersama sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan memberikan rawatan awal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








