Detik cemas malam raya: Percikan bunga api tembusi kereta, hampir kena bayi
KUALA NERUS – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut malam raya bertukar detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki mereka terkena percikan bunga api ‘sesat’ ketika melalui kawasan Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, Rashidi Ihshak, 38, berkata, percikan berkenaan hampir mengenai bayi perempuannya berusia 18 bulan yang berada di ribaan isterinya di tempat duduk penumpang hadapan.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama isteri dan empat anak dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Seberang Takir selepas berbuka puasa di luar pada hari terakhir Ramadan.
“Selepas menunaikan solat fardu, kami terus bertolak pulang dengan tingkap kereta dibuka.
“Apabila tiba di lokasi, tiba-tiba percikan bunga api ‘sesat’ masuk ke dalam kereta. Mujur ia terkena tangan saya sebelum melantun ke cermin hadapan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Takir, hari ini.
Tambah Rashidi, percikan tersebut menyebabkan cermin hadapan Proton Saga miliknya retak, sekali gus memaksanya membrek secara mengejut.
Katanya, tindakan itu menyebabkan keempat-empat anaknya berusia antara 18 bulan hingga sembilan tahun ketakutan.
“Namun saya tetap bersyukur kerana percikan itu tidak terkena bayi saya. Jika tidak, mungkin ia mengenai mukanya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







