BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Ibu tunggal, dua anak maut dalam kebakaran rumah kedai

BALIK PULAU – Seorang ibu tunggal dan dua anak maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Balik Pulau di sini hari ini.

Mangsa kejadian pada pukul 7 pagi itu disahkan sebagai Noorul Bowjiya Saida Mohamed, 58, anak lelakinya, Mohammad Ibrahim Saida Mohamed, 33 dan anak perempuan, N Rahbiah Jasmin, 19.

Seorang lagi anak Noorul Bowjiya, Abdul Rashideen, 29, disahkan selamat selepas berjaya menyelamatkan diri.

Abdul Rashideen bagaimanapun beberapa kali pitam selepas terkejut dengan kejadian yang mengorbankan ibu, abang dan adik perempuannya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, ketika kejadian berlaku, ibu bersama dua anak lelakinya telah berjaya keluar dari premis namun masuk semula selepas menyedari anak perempuannya masih berada di tingkat atas bangunan.

“Noorul Bowjiya dan Mohammad Ibrahim masuk semula untuk menyelamatkan Rahbiah namun kedua mereka dan seorang lagi anak perempuan tidak berjaya keluar selepas itu,” katanya.

Noorul Bowjiya yang juga seorang balu dipercayai tinggal bersama tiga anaknya yang masih bujang di rumah kedai berkenaan dan mengusahakan perniagaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd Faris Mansor berkata, punca kejadian setakat ini masih belum diketahui.

Operasi pemadaman membabitkan anggota BBP Seri Balik Pulau bersama dua jentera dengan dibantu BBP Balik Pulau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button