BERITA SEMASA

Empat sahabat pergi serentak, bola punca tragedi

KULIM – Kegembiraan empat kanak-kanak bermain bola bertukar menjadi tragedi apabila mereka ditemukan lemas di dalam sebuah longkang besar di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini semalam.

Dalam kejadian yang meruntun hati itu, empat sahabat berusia antara lapan hingga 12 tahun dipercayai cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang sebelum berlaku insiden yang meragut nyawa mereka.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, siasatan awal mendapati maklumat daripada ibu mangsa menunjukkan kesemua kanak-kanak tersebut keluar bermain bola sebelum bola berkenaan terjatuh ke dalam longkang.

Menurutnya, tiada saksi yang melihat kejadian itu berlaku, namun longkang berkenaan dianggarkan mempunyai kedalaman 3.05 meter dan lebar 1.83 meter.

“Tiada saksi yang melihat kejadian itu berlaku. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti kejadian sebenar,” memetik Bertita RTM online.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8.

Dua lagi mangsa ialah Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.

Pemergian empat sahabat itu serentak dalam satu kejadian mengundang pilu kepada keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat yang tidak menyangka permainan petang mereka berakhir dengan tragedi.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk menjalani bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button