LUAR NEGARA

Indonesia padam lima juta akaun kanak-kanak di platform digital

JAKARTA – Indonesia memadam kira-kira lima juta akaun milik pengguna bawah umur daripada pelbagai platform digital selepas melaksanakan Peraturan Kerajaan mengenai Tadbir Urus Sistem Elektronik bagi Perlindungan Kanak-Kanak.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid berkata, jumlah itu direkodkan hasil kerjasama pihak kementerian dengan platform digital yang terbabit.

“Bersama-sama platform berkenaan, kami telah memadam lima juta akaun kanak-kanak. Walaupun lima juta pengguna masih kecil berbanding sasaran kami, pada peringkat global pencapaian ini mengatasi apa yang dilakukan TikTok di Australia,” katanya memetik laporan Agensi Berita Antara.

Menurut Meutya, Indonesia memilih pendekatan berasaskan risiko bagi melindungi kanak-kanak dalam talian berbanding melaksanakan larangan umur secara menyeluruh seperti di Australia.

Katanya, menerusi pendekatan itu, kanak-kanak berusia bawah 16 tahun tidak dibenarkan mengakses platform digital yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

Beliau berkata, peraturan yang dikenali sebagai PP Tunas itu bertujuan menggalakkan syarikat teknologi mereka bentuk semula perkhidmatan untuk pasaran Indonesia bagi menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak.

Sebagai contoh, platform permainan Roblox menyahaktifkan fungsi sembang secara lalai bagi pengguna di Indonesia yang berusia bawah 16 tahun, kecuali dengan persetujuan ibu bapa.

“Kami berharap pada masa akan datang, langkah ini bukan sekadar melarang kanak-kanak daripada membuka akaun, tetapi menjadi gerakan lebih luas yang menggalakkan platform melakukan perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, Meutya mengakui pelaksanaan peraturan itu masih berdepan cabaran, khususnya dalam aspek pengesahan umur memandangkan banyak syarikat teknologi masih belum menggunakan kaedah lebih canggih seperti algoritma anggaran umur, pengesahan wajah atau analisis tingkah laku.

Beliau berkata, kerangka semasa mewajibkan syarikat mengemukakan penilaian kendiri yang memperincikan tahap risiko perkhidmatan masing-masing.

Setakat ini, kementerian berkenaan telah membuat penilaian terhadap 200 platform yang dikendalikan oleh 79 Penyedia Sistem Elektronik, dengan lapan platform mengklasifikasikan perkhidmatan mereka sebagai berisiko tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button