BERITA SEMASA

Tiga dekad ratifikasi, janji hak kanak-kanak masih belum tercapai di Sabah – UNICEF

KUALA LUMPUR – Isu buruh kanak-kanak di ladang kelapa sawit di Sabah mencerminkan pelanggaran hak asasi kanak-kanak dan menandakan kewujudan ketidakadilan sosial yang lebih serius dalam masyarakat, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menurut Timbalan Wakil UNICEF Malaysia, Sanja Saranovic walaupun Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak sejak tiga dekad lalu, pelaksanaan janji yang terkandung dalam komitmen itu masih belum menyeluruh, khususnya bagi kanak-kanak yang hidup dalam situasi kerentanan tinggi.

β€œIni merupakan satu peringatan bermakna tentang komitmen yang telah kita ikrarkan untuk setiap kanak-kanak. Namun, bagi ramai kanak-kanak di luar sana, janji itu masih jauh untuk direalisasikan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Hari Penentangan Buruh Kanak-Kanak Sedunia yang disambut semalam.

Baca juga : Ke arah masa depan lebih cerah: Tangani isu buruh kanak-kanak di ladang sawit Sabah

Hari Sedunia Penentangan Buruh Kanak-Kanak yang dilancarkan buat kali pertama pada 2002 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) adalah sebagai satu usaha untuk menonjolkan nasib kanak-kanak yang terbabit dalam buruh kanak-kanak.

Menurut ILO, buruh kanak-kanak merujuk kepada kerja-kerja yang berbahaya dan boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan mental, fizikal, sosial serta moral kanak-kanak, selain mengganggu pembelajaran dan masa depan mereka.

60 peratus kes di Sabah, mencerminkan kerentanan melampau

Walaupun angka sebenar tidak dapat dikenal pasti secara tepat, data sedia ada menunjukkan hampir 60 peratus daripada kes buruh kanak-kanak yang dilaporkan di negara ini berlaku di ladang kelapa sawit di Sabah.

Keadaan ini, jelas Saranovic, mencerminkan situasi kerentanan yang semakin meruncing dalam kalangan keluarga dan komuniti yang menetap di kawasan perladangan.

β€œFaktor seperti kemiskinan, kekurangan akses kepada pendidikan berkualiti, perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang terhad serta kesukaran untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah menyumbang kepada fenomena ini,” katanya.

Beliau menambah, apabila kanak-kanak tidak mampu bersekolah akibat halangan kewangan, jarak atau pentadbiran, mereka berisiko tinggi untuk dipaksa bekerja. Ketiadaan kemudahan penjagaan kanak-kanak turut memaksa keluarga membawa anak ke tempat kerja.

Persepsi lazim perlu diubah

Saranovic turut melahirkan kebimbangan terhadap tanggapan umum masyarakat yang menganggap buruh kanak-kanak sebagai perkara biasa.

Katanya, persepsi sedemikian perlu diubah kerana ia berupaya menjejaskan masa depan dan potensi kanak-kanak terbabit.

β€œUsaha mengubah pemikiran ini bukan bermaksud menuding jari, tetapi untuk membangkitkan kesedaran, membuka ruang dialog dan memupuk kefahaman bahawa perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama.

β€œSetiap kanak-kanak berhak menikmati hidup bebas daripada eksploitasi buruh. Itulah janji yang kita buat tiga dekad lalu dan ia perlu ditunaikan demi maruah, keselamatan dan masa depan mereka,” tegas Saranovic.

Beliau berkata, UNICEF menyeru semua pihak untuk bersama-sama mewujudkan sebuah negara yang tidak meninggalkan mana-mana anak tercicir, serta memastikan zaman kanak-kanak mereka terus dilindungi dengan sepenuhnya.

Peranan pelbagai pihak dalam menangani isu buruh kanak-kanak

Mengulas lanjut, Saranovic menegaskan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk menangani gejala buruh kanak-kanak, sebaliknya ia menuntut pendekatan yang menyeluruh melibatkan pencegahan, kesedaran serta tanggungjawab pelbagai pihak.

Katanya, belia digalakkan untuk tampil sebagai agen perubahan dengan memperjuangkan isu hak asasi kanak-kanak dan memacu mekanisme pelaporan yang inklusif dan mesra kanak-kanak.

Selain itu, sektor perniagaan, khususnya dalam industri kelapa sawit, turut digesa untuk melangkaui kepatuhan undang-undang semata-mata.

β€œMereka perlu melaksanakan usaha wajar bagi mengenal pasti dan menangani kesan operasi terhadap kehidupan kanak-kanak.

β€œTanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan juga disaran agar menyokong program penjagaan kanak-kanak dan pendidikan awal.

β€œDalam masa yang sama, kerajaan serta penggubal dasar perlu memastikan undang-undang dilaksanakan secara efektif di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Saranovic berkata, suara komuniti, khususnya mereka yang berada di kawasan pedalaman dan ladang perlu didengari, sekali gus memastikan perkhidmatan asas dan perlindungan terhadap mereka lebih terjamin.

β€œBagi pengamal media dan pencipta kandungan, golongan ini perlu memainkan peranan penting dalam membentuk naratif umum menerusi
penceritaan yang etikal dan berpaksikan realiti, mereka berupaya menyerlahkan punca sebenar isu buruh kanak-kanak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button