
Bekalan elektrik tergendala: UMNO Kalabakan desak percepat projek grid Sabah
TAWAU – Lebih 230,000 penduduk di pantai timur Sabah terjejas apabila bekalan elektrik terputus lebih 15 jam selepas menara penghantaran di Penampang runtuh akibat tanah runtuh baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, insiden itu membuktikan sistem tenaga di Sabah masih rapuh dan memerlukan penyelesaian segera.
“Ini bukan isu kecil, tetapi sudah menjadi masalah kritikal kerana ia menjejaskan rumah tangga, peniaga, pelancong, pelajar dan juga pesakit hospital. Gangguan seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi,” memetik laporan NST online.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mempercepatkan pelaksanaan projek Second Loop Transmission (Tenom–Kalabakan–Tawau) yang boleh menyediakan laluan alternatif bekalan elektrik dan mengelak gangguan berskala besar.
Selain itu, katanya, pembinaan loji jana kuasa bebas (IPP) berskala tempatan di Tawau, Kalabakan dan Lahad Datu perlu diberi perhatian kerana ia mampu menjamin kestabilan tenaga dengan menggunakan sumber seperti gas, solar, biojisim dan mini hidro.
“Penduduk pantai timur sudah terlalu lama menanggung kesan gangguan elektrik berulang, sedangkan kawasan ini penyumbang besar kepada hasil negeri melalui pelancongan, kelapa sawit, koko dan akuakultur.
“Rakyat berhak menikmati bekalan elektrik moden dan stabil sama seperti di negeri lain. Kerajaan negeri dan Persekutuan tidak boleh lagi menangguhkan perkara ini,” katanya lagi.
Samasuddin turut berkata, Sabah memerlukan langkah jangka panjang untuk memperkukuh sistem bekalan elektrik agar insiden seperti ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








