BERITA SEMASADALAM NEGERI

Honda Malaysia ambil maklum aduan Dr Maza, adakan pertemuan di Perlis

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menerima kunjungan daripada Presiden Honda dan barisan kepimpinan Honda Malaysia di kediamannya pagi tadi bagi membincangkan isu berkaitan kenderaan rasmi Honda yang sebelum ini dibangkitkan beliau.

Menurut Dr Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana yang saling memahami dan beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama serta sikap profesional ditunjukkan pihak Honda.

“Alhamdulillah, saling memahami situasi. Saya mengucapkan terima kasih atas ‘good will’ dan kerjasama kepimpinan Honda. Jauh mereka turun ke Perlis. Honda menunjukkan sikap yang baik dalam menjaga hati pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.

Terdahulu, pada 4 Ogos lalu, beliau memaklumkan bahawa kereta Honda Accord milik kerajaan negeri yang diberikan untuk kegunaan rasminya mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan pulang dari Bertam ke Perlis.

“Inilah bukan kali pertama Honda Accord buat perangai. Sudah beberapa kali. Di samping kualiti kereta yang tidak memuaskan, tempat servis Honda di Perlis juga bagi saya tidak memuaskan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Dr Maza mendakwa pusat servis Honda pada awalnya menunjukkan keengganan untuk membaiki kenderaan tersebut.

“Agak mengejutkan apabila saya dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa pusat servis Honda agak keberatan untuk membaiki kereta saya sehinggalah saya menurunkan status yang mempersoalkan kualiti Honda tiga hari lepas.

“Dakwaan juga menyatakan pihak HQ Honda pun keberatan untuk membaiki jika tidak diturunkan status. Perbualan itu dirakam. Saya fikir syarikat besar seperti Honda sepatutnya lebih profesional dalam hal ini,” katanya lagi.

Tambah Dr Maza, banyak kenderaan Honda milik kerajaan negeri turut menghadapi pelbagai masalah dan kini aduan terhadap pusat servis sedang dikumpulkan.

“Itu yang menyebabkan pengguna Honda kadang-kala cuba baiki di tempat lain. Saya sebut hal ini untuk iktibar para pengguna dan mereka yang ingin membeli kereta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button