BERITA SEMASAPOLITIK

Krisis politik Perlis tidak gugat rakyat selagi istana berfungsi – Mufti Perlis

KANGAR – Rakyat Perlis dilihat tidak terlalu tergugat dengan kemelut politik negeri itu selagi Istana Perlis terus berfungsi seperti biasa.

Demikian penjelasan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Saya kebetulan baru sahaja pulang ke Perlis semalam. Empat hari saya di Abu Dhabi menghadiri satu persidangan anjuran kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kemudian, saya terus ke Guangzhou China selama enam hari. Ertinya, sepanjang krisis saya tiada di Perlis,” tulisnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan rakyat tetap mengimpikan kewujudan kerajaan negeri yang berkualiti, berwawasan dan benar-benar mampu membangunkan Perlis, seiring peranan istana yang bertanggungjawab dan dekat dengan rakyat.

“Bayangkan jika istana yang bertanggungjawab seperti ini dibantu oleh kerajaan yang berwibawa dan berkualiti, pastinya Perlis akan ke hadapan dalam banyak hal, Insya-Allah,” katanya ketika mengulas krisis politik Perlis yang menyaksikan perubahan sokongan politik dan peletakan jawatan Menteri Besar.

Menyentuh suasana semasa, Mohd Asri berkata krisis politik yang berlaku tidak memberi kesan besar kepada kehidupan seharian rakyat, berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak di luar negeri itu.

“Perasaan saya ketika mendengar krisis itu berlaku seumpama mendengar pasukan bola sepak Perlis kalah 2-1 dalam satu perlawanan.

“Itu sahaja. Saya percaya itulah juga perasaan kebanyakan rakyat Perlis,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, realiti politik di Perlis tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan negeri lain kerana suasana setempat dibentuk oleh faktor unik, khususnya peranan Institusi Raja.

Menurutnya, Institusi Raja di Perlis tidak dikaitkan dengan kemewahan atau kepentingan peribadi, sebaliknya menampilkan gaya hidup sederhana, dekat dengan rakyat dan amat mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat.

“Saya memuji Institusi Raja Perlis dengan jujur, bukan kerana mengampu.

“Ia tidak sempurna tetapi ia terbaik dalam keadaan yang ada, dengan sikap rendah diri, simpati dan keprihatinan yang tulen terhadap rakyat,” katanya.

Mohd Asri turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Raja Muda Perlis yang disifatkannya sebagai faktor penting dalam mencorakkan pembangunan dan kebajikan negeri.

Menurut beliau, melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), usaha membantu rakyat dilaksanakan secara berterusan termasuk program turun padang yang kerap bagi mengenal pasti golongan memerlukan.

“Dalam banyak keadaan, rakyat Perlis akan teringat MAIPs terlebih dahulu sebelum teringat wakil rakyat apabila memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan hubungan antara istana dan ketua-ketua jabatan sebagai berasaskan kepercayaan dan keterlibatan bukan semata-mata kuasa sekali gus mewujudkan pentadbiran yang lebih berkesan.

Mengulas peranannya sebagai Mufti, Mohd Asri berkata Raja Perlis sentiasa menekankan kepentingan menyampaikan kebenaran berlandaskan dalil tanpa takut kepada tekanan atau sentimen.

“Baginda menitahkan supaya saya menyatakan yang benar, sama ada baginda terima atau tidak, itu tanggungjawab antara baginda dengan Allah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kestabilan Perlis hari ini banyak didorong oleh kepercayaan rakyat terhadap istana sekali gus menjelaskan mengapa pergolakan politik tidak mencetuskan kegusaran besar dalam kalangan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button