BERITA SEMASA

Tamim Dahri letak syarat mahu serah diri, gesa roboh 4 kuil haram

KUALA LUMPUR – Aktivis Tamim Dahri menyatakan kesediaan untuk pulang ke Malaysia dan menyerah diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat, namun meletakkan beberapa syarat termasuk tindakan perobohan terhadap empat buah kuil yang didakwanya tidak sah.

Menerusi satu hantaran di platform Threads, beliau yang mendakwa berlatar belakang teknikal berkata, pendekatan yang diambil sebelum ini lebih menjurus kepada penyelesaian masalah, namun kini cuba menggunakan pendekatan berbeza yang disifatkannya sebagai ‘seni diplomasi’.

Aktivis masyarakat, Tamim Dahri. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune

Menurutnya, antara syarat yang dikemukakan ialah perobohan kuil di empat lokasi iaitu di Jalan Pandanmas, Hospital Bukit Mertajam, Seafield dan kawasan berhampiran Jakel.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan rasional di sebalik pemilihan lokasi tersebut, sebaliknya hanya menyatakan perkara itu boleh difahami sendiri oleh pihak berkaitan.

“Kenapa empat lokasi ini? Yang itu, semua boleh fikir sendiri,” tulisnya ringkas.

Terdahulu, Tamim pernah ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung beberapa kenyataan dan kandungan yang dimuat naik di media sosial yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

BACA JUGA:

4 individu termasuk Zamri Vinoth, Tamim Dahri dituduh di mahkamah esok

PDRM sahkan siasatan terhadap Zamri Vinoth dan Tamim Dahri selesai, kedua-dua suspek disyaki lari ke Thailand

Terdahulu media melaporkan, Tamim dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung tuntutan terbaharu yang dikemukakan aktivis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button