JENAYAH & MAHKAMAH

4 individu termasuk Zamri Vinoth, Tamim Dahri dituduh di mahkamah esok

Dua lagi individu adalah P. Mahendra Boopathy dan Arun Dorasamy

PUTRAJAYA – Empat individu termasuk pendakwah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri yang didakwa terbabit dalam kejadian mencetuskan provokasi dan memainkan sentimen perkauman serta agama sejak kebelakangan ini, akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya sudah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menuduh dua individu berkenaan termasuk P. Mahendra Boopathy dan Arumugam Dorasamy yang lebih dikenali Arun Dorasamy.

“Siasatan terhadap Zamri Vinoth berhubung kenyataan penganjuran perhimpunan di perkarangan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada 7 Februari.

“Arahan tuduh adalah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Tamim Dahri pula akan dituduh mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Mengenai keberadaan Tamim, Mohd Khalid berkata, dia dikesan di Thailand sebelum ini namun tidak dapat dipastikan di mana dia berada ketika ini.

“Kita ada maklumat risikan bahawa dia telah keluar ke negara jiran iaitu Thailand. Dari situ kita masih belum pasti beliau berada di mana dan maklumat lanjut sedang diperoleh,” katanya.

Sementara itu, individu dikenali sebagai P. Mahendra Bhoopathy akan dituduh atas kesalahan membuat hantaran berniat jahat ke arah Masjid Jamek Dato Bandar Haji Ahmad Shah di Rasah, Seremban yang ditohmah sebagai masjid haram.

“Arahan tuduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Siasatan terhadap Arumugam Dorasamy berhubung kenyataan mengajak persatuan hindu agama Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth,”katanya.

Mohd Khalid berkata, Zamri Vinoth yang juga Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) Zamriakan akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur, Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi), P. Mahendra Boopathy (Mahkamah Majistret Seremban) dan Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang.

Katanya kesemua individu terbabit akan dituduh di mahkamah yang ditetapkan pukul 9 pagi esok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button