Namewee tampil di IPD Dang Wangi, nafi larikan diri
KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan pengarah filem tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini, pada 22 Oktober lalu.
Namewee, 42, menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, dia baru tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru sebelum hadir ke balai polis untuk membuat laporan dan memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

“Saya kini berada di balai polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan serta memberikan penjelasan kepada orang ramai dan keluarga wanita itu.
“Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, sebelum ini memaklumkan bahawa kes berkenaan yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan kes bunuh.
Beliau berkata, Namewee difahamkan berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku dan siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut termasuk terhadap individu terakhir yang bersama mangsa.
Mangsa, seorang pempengaruh media sosial warga Taiwan berusia 31 tahun, ditemui meninggal dunia di dalam bilik air sebuah hotel mewah di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Menurut sumber polis, kenyataan rasmi berhubung perkembangan siasatan dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








