JENAYAH & MAHKAMAH

Namewee direman 6 hari, bantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penyanyi rap kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee, 42, direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, reman ke atas individu terbabit bermula hari ini sehingga 10 November depan.

Sementara itu, peguam mewakili Namewee, Joshua Tay H’ng Foong mengesahkan anak guamnya direman selama enam hari.

“Saya sahkan dia (Namewee) direman selama enam hari, lain-lain perkara saya tidak boleh ulas,” katanya ringkas memetik laporan HM Online.

Terdahulu, Namewee dilaporkan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Perkara itu dimaklumkannya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

“Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan kes bunuh.

Difahamkan, Namewee berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku dan siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut termasuk terhadap individu terakhir yang bersama mangsa.

Mangsa, seorang pempengaruh media sosial warga Taiwan berusia 31 tahun, ditemui meninggal dunia di dalam bilik air sebuah hotel mewah di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button