BERITA SEMASALUAR NEGARA

Yaman balas serangan, ikrar Israel terus jadi sasaran

SANAA – Konflik Asia Barat kembali tegang apabila kumpulan Houthi di Yaman melancarkan serangan balistik dan dron ke arah Israel, sebagai tindak balas terhadap serangan udara rejim Zionis ke pelabuhan strategik Hodeidah.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, menegaskan bahawa tindakan Israel menyasarkan dok pelabuhan dan infrastruktur awam yang digunakan untuk bekalan kemanusiaan adalah “jenayah terang-terangan” terhadap rakyat Yaman.

Beliau turut memberi amaran bahawa serangan balas akan diteruskan selagi kekejaman Israel di Gaza berlanjutan.

Siren kecemasan berbunyi di Baitulmaqdis, Tel Aviv dan Rishon LeZion selepas sistem pertahanan Israel mengesan peluru berpandu dari selatan Semenanjung Arab.

Pihak tentera Israel memaklumkan sebahagian peluru berpandu berjaya dipintas, namun beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Ben Gurion terpaksa ditangguhkan.

Menurut laporan Al-Masirah TV, sebanyak 12 serangan udara Israel mengenai kawasan pelabuhan Hodeidah, menyebabkan kerosakan besar pada kemudahan awam dan mengganggu aliran bekalan di pantai barat Yaman.

“Solidariti kami terhadap Palestin tidak akan goyah. Kepentingan Israel akan kekal menjadi sasaran selagi pencerobohan berterusan,” tegas Saree dalam kenyataan rasmi.

Penganalisis melihat serangan balas dari Yaman ini sebagai mesej jelas bahawa tindakan ketenteraan Israel di rantau Arab bakal berdepan tindak balas lebih meluas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button