LUAR NEGARA

Pesawat Madrid-Paris patah balik akibat serangan burung

MADRID – Sebuah pesawat penumpang dalam penerbangan dari Madrid ke Paris terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Madrid selepas berlanggar dengan seekor burung besar tidak lama selepas berlepas, dalam kejadian yang mencemaskan penumpang kelmarin.

Menurut syarikat penerbangan Iberia, pesawat Airbus A321XLR yang masih baharu dan hanya beberapa minggu digunakan itu mengalami kerosakan pada bahagian hidung dan salah satu enjinnya akibat perlanggaran tersebut.

Pesawat itu membawa seramai 182 penumpang, dan kru penerbangan bertindak segera mengikut prosedur keselamatan dengan melakukan pendaratan semula secara selamat.

Video kejadian yang tular di media sosial memaparkan penumpang memakai topeng oksigen dan menunjukkan lubang besar pada bahagian hadapan pesawat.

Pengawal trafik udara di Madrid, Juan Gómez berkata, kejadian serangan burung bukan perkara luar biasa dan merupakan risiko yang telah lama diketahui serta dikawal dalam industri penerbangan.

“Bahagian depan pesawat diperbuat daripada bahan yang sangat ringan kerana ia menempatkan radar cuaca bagi mengesan ribut yang mendatang,” katanya ketika ditemu bual oleh saluran RTVE.

Sementara itu, portal penerbangan Aviacionline menjelaskan bahawa lapangan terbang di seluruh dunia telah mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kehadiran burung di sekitar kawasan landasan, namun pelanggaran tetap sukar dielakkan sepenuhnya.

Menurut portal itu lagi, enjin pesawat telah melalui proses pensijilan ketat bagi memastikan ia masih boleh dimatikan dengan selamat sekiranya berlaku kerosakan, tanpa menjejaskan integriti struktur keseluruhan pesawat.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut dan semua penumpang berada dalam keadaan selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button