AGAMABERITA SEMASAPOLITIK

Bapa saudara pertahan pelantikan Marhamah, tegas isu dibesarkan atas persepsi

KUALA LUMPUR – Bapa saudara kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu dilantik, Senator Marhamah Rosli tampil mempertahankan kredibiliti dan integriti anak saudaranya susulan beberapa isu yang dibangkitkan selepas pelantikan tersebut.

Dr Badrulamin Bahron dalam satu kenyataan hari ini merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan melantik Marhamah ke jawatan berkenaan, sambil menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu menggalas amanah tersebut dengan baik.

“Saya yakin Marhamah akan bekerja kuat bersama Dr Zulkifli Hasan (Menteri Agama) dalam memperteguh serta memartabatkan institusi agama di negara ini,” katanya.

Mengulas isu penglibatan Marhamah dalam gerakan #JusticeForZara, beliau berkata anak saudaranya telah memberi penjelasan terbuka kepada umum dan berharap masyarakat khususnya umat Islam dapat menerima penjelasan tersebut dengan adil.

Marhamah Rosli
Marhamah mengangkat sumpah sebagai Senator. – Foto Bernama

Menurutnya, kes berkenaan wajar diserahkan sepenuhnya kepada proses mahkamah sementara Marhamah sebagai ibu kepada enam cahaya mata dan aktivis masyarakat akan terus memperjuangkan keadilan, kebajikan serta pembelaan terhadap golongan tertindas.

Berhubung dakwaan berkaitan dana #JusticeForZara, Dr Badrulamin menjelaskan bahawa tabung tersebut telah mendapat permit daripada Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada pihak polis, selain melalui proses audit dalaman yang turut dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Dana berkenaan digunakan bagi membantu keluarga mangsa dan saksi menghadiri persiapan inkues serta prosiding mahkamah.

“Nama Marhamah juga tidak terdapat dalam akaun dana tersebut, sebaliknya melibatkan peguam, ibu mangsa dan wakil NGO,” katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan penipuan emas, beliau menegaskan Marhamah bukan ejen, sebaliknya merupakan mangsa penipuan dan kes berkenaan telah disiasat oleh pihak polis dengan kerjasama penuh daripada anak saudaranya.

Isu kaitan Marhamah dengan fahaman New Age turut disifatkan sebagai persepsi semata-mata.

Menurut Dr Badrulamin, pendekatan dakwah yang digunakan Marhamah berteraskan al-Quran dan sunnah, namun disampaikan dengan bahasa yang sesuai dengan masyarakat semasa.

“Penglibatan beliau dalam program dialog kerohanian bersifat universal sering disalah tafsir.

“Tiada bukti atau pengakuan bahawa Marhamah menganut ajaran New Age,” katanya sambil menegaskan Islam menuntut hikmah, tabayyun serta ketegasan dalam akidah tanpa mengabaikan kelembutan dalam muamalah.

Beliau menegaskan keyakinan bahawa Marhamah mampu menggalas amanah sebagai Timbalan Menteri Agama dan terbuka terhadap teguran ilmiah berpandukan institusi agama yang berautoriti.

“Kepada Allah saya bertawakal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button