Dakwah perlu seimbang antara nilai, kemanusiaan dan teknologi – Marhamah
KUALA LUMPUR — Pendekatan dakwah masa kini perlu digerakkan secara seimbang dengan menggabungkan nilai, kefahaman terhadap manusia serta penggunaan alat dan teknologi secara strategik agar mesej yang disampaikan benar-benar berkesan dan sampai ke sasaran.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, dakwah tidak boleh bergantung kepada satu elemen semata-mata, sebaliknya perlu menyatukan ketiga-tiga komponen itu secara serentak.
“Nilai berfungsi sebagai kompas yang menentukan arah dan prinsip, manusia pula ialah penggerak yang memastikan mesej difahami dan diterima manakala alat serta teknologi berperanan sebagai sistem yang membantu mempercepat dan melancarkan perjalanan dakwah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Dakwah Negara yang dihadiri lebih 200 peserta, di Sungai Besi.
Menurut Marhamah, penggunaan teknologi tanpa berpaksikan nilai boleh menyebabkan dakwah tersasar manakala nilai yang jelas tanpa kefahaman terhadap manusia tidak akan membawa perubahan bermakna.

“Teknologi mesti dipandu oleh nilai dan digerakkan dengan kefahaman tentang realiti manusia. Barulah dakwah bukan sekadar bergerak, tetapi benar-benar sampai ke tujuan,” katanya.
Beliau turut mengakui peluang menyampaikan ucaptama tersebut sedikit sebanyak mengubat kerinduannya berada di pentas ilmu, meskipun peranan beliau kini berbeza.
“Ruang untuk berbicara tentang ilmu, dakwah dan pemikiran tetap penting, namun pendekatannya perlu lebih fokus, strategik dan sesuai dengan cabaran semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Marhamah merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konvensyen berkenaan.
Beliau berharap usaha memperkukuh dakwah berasaskan ilmu, etika dan kefahaman realiti masyarakat dapat diteruskan demi memastikan mesej Islam terus relevan dan berkesan dalam konteks semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








