Cadangan pinda Akta Tabung Haji untuk perkukuh tadbir urus, bukan tukar jadi institusi pelaburan
KUALA LUMPUR – Cadangan semakan dan pindaan Akta Tabung Haji 1995 bukan bertujuan menukar status Lembaga Tabung Haji (TH) daripada sebuah institusi simpanan konvensional kepada institusi pelaburan Islam, sebaliknya untuk memperkukuhkan tadbir urus dan memastikan kemampanan kewangan jangka panjang TH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa beberapa pembaharuan sedang diperhalusi bagi menangani ketidakseimbangan risiko antara deposit jangka pendek dan strategi pelaburan jangka panjang.
“Cadangan pembaharuan ini memerlukan TH menyemak semula peruntukan sedia ada dalam Akta 535 dan mengambil kira syor daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memperkukuhkan tadbir urus TH secara keseluruhan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersetuju dengan cadangan Pengerusi Kumpulan TH untuk meminda akta tersebut supaya TH bertukar status menjadi institusi pelaburan Islam.

Mohd Na’im berkata, sebarang cadangan daripada pihak TH akan dibentangkan kepada Menteri Hal Ehwal Agama sebelum keputusan kolektif diambil bagi memastikan kepentingan dan kebajikan pendeposit terus terpelihara.
“TH sentiasa meletakkan kepentingan pendeposit sebagai teras utama dalam operasi dan model perniagaan.
“Sebagai institusi yang diberi mandat menguruskan simpanan umat Islam untuk tujuan ibadah haji, TH komited menambah baik tatakelola institusi haji negara,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan bahawa TH sedang melaksanakan proses libat urus bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan sebarang pindaan dibuat secara teliti dan menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








