AGAMAPENDAPATRENCANA

Ibadat Haji: Kemampuan yang perlu dicari, bukan dinanti

PENDEDAHAN Tabung Haji bahawa 50 peratus bakal jemaah terpaksa menolak tawaran kerana tidak mampu menanggung kos haji bukan sekadar statistik tetapi ia amaran keras kepada kita semua.

Ada yang menunggu hampir dua dekad. Namun saat peluang mengetuk pintu, simpanan terlalu nipis untuk direalisasikan.

Realiti ini bukan masalah individu itu sahaja tetapi gambaran masa depan kita jika terus hidup tanpa perancangan kewangan yang jelas.

Tabung Haji
Tabung Haji baru-baru ini mendedahkan 50 peratus jemaah menolak tawaran panggilan haji kerana kekangan kewangan.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud:

“Dan bagi Allah, kewajipan manusia mengerjakan haji ke Baitullah, bagi sesiapa yang mampu.”

Ayat ini bukan sekadar hukum, ia peringatan bahawa kemampuan adalah sesuatu yang mesti dibina bukan ditunggu.

Rasulullah SAW juga memberi amaran agar tidak melengah-lengahkan ibadah haji apabila sudah mampu.

Lalu, persoalan yang harus kita tanya kepada diri sendiri ialah: adakah kita sedang berusaha untuk menjadi mampu?

Melihat realiti hari ini, jawapannya masih belum. Lebih separuh pendeposit Tabung Haji hanya memiliki simpanan sekitar RM1,300.

Data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula lebih membimbangkan apabila 73 peratus ahli tidak memiliki simpanan mencukupi untuk persaraan dan lebih 50 peratus hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 walaupun telah bekerja bertahun-tahun.

KWSP
Data KWSP juga menunjukkan 73 peratus ahli tidak memiliki simpanan persaraan yang mencukupi.

Jika wang persaraan pun tidak cukup, tidak pelik jika simpanan haji jauh tersasar.

Ini bukan isu pendapatan semata-mata. Ini isu keutamaan, disiplin dan arah perbelanjaan.

Mengurus harta mengikut maqasid syariah

Islam tidak meminta kita hidup miskin atau mewah tetapi hidup berdisiplin. Mengurus harta mengikut Maqasid Syariah adalah asas kewangan dalam Islam namun inilah asas yang paling banyak diabaikan.

1. Daruriyyat – Keperluan Asas Yang Tidak Boleh Ditangguh

Kategori ini menyentuh kelangsungan hidup seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan asas anak-anak, takaful, perlindungan kewangan keluarga dan komitmen wajib lain.

Dalam kehidupan moden, takaful diri serta anak-anak termasuk dalam daruriyyat kerana ia melindungi keluarga daripada risiko kewangan besar.

Makanan, kediaman atau tempat tinggal, kesihatan serta pendidikan anak-anak termasuk dalam keperluan asas yang tidak boleh ditangguh. – Gambar hiasan

Begitu juga simpanan pendidikan asas anak, ia bukan lagi kemewahan tetapi keperluan.

Daruriyyat memerlukan bajet tetap setiap bulan. Apabila kategori ini stabil, barulah keluarga mampu merancang ibadah besar seperti haji

2. Hajiyyat – Keperluan Pelengkap

Ini termasuk kenderaan sesuai, peralatan kerja, tempat tinggal yang selesa atau teknologi asas. Ia memudahkan hidup tetapi tidak merosakkan jika tiada.

Namun ramai berbelanja dalam kategori ini secara berlebihan kerana ingin keselesaan yang tidak setara dengan kemampuan.

3. Tahsiniyyat – Gaya Hidup Tambahan

Inilah kategori yang paling menjerat ramai. Kopi RM15–RM18 setiap hari, makan di luar berlebihan, gajet baharu setiap tahun, percutian mewah, langganan aplikasi yang tidak digunakan dan gaya hidup mengikut trend.

Tahsiniyyat tidak haram tetapi apabila ia mengatasi daruriyyat dan hajiyyat, kewangan bocor perlahan-lahan sekali gus menjauhkan kita daripada kemampuan haji.

Prinsipnya mudah: Ukurlah baju di badan sendiri. Kalau tidak, gaya hidup akan sentiasa lebih besar daripada pendapatan.

Hikmah Haji: Latihan kehidupan untuk menjadi Muslim yang lebih bijak

Ramai lupa bahawa syarat ‘kemampuan’ dalam ibadah haji bukan sekadar syarat hukum. Ia latihan kehidupan yang membentuk kita menjadi insan lebih matang, berdisiplin dan bertanggungjawab.

Ibadah haji merupakan latihan kehidupan yang membentuk umat Islam menjadi insan yang lebih matang, berdisiplin dan bertanggungjawab.

Haji memaksa kita merancang jangka panjang, menabung secara konsisten, mengawal perbelanjaan, membezakan keperluan daripada kehendak dan mengurus risiko keluarga.

Sesiapa yang berusaha menabung untuk haji sebenarnya sedang melatih diri menjadi lebih bijak dalam seluruh aspek kehidupan.

Haji adalah cermin diri. Ia menunjukkan sama ada kita konsisten, sabar, berstrategi atau sekadar hidup mengikut arus.

Sesiapa yang mampu merancang kewangan untuk ibadah haji iaitu ibadah paling mahal, paling jauh dan paling besar komitmennya, maka Insya-Allah, dia mampu merancang apa sahaja dalam hidup.

Kemampuan tidak datang sendiri. Ia dibina, diasah dan diperjuangkan.

Angka 50 peratus itu adalah tamparan yang berkata: “Jika kamu tidak berubah hari ini, kamu akan menjadi sebahagian daripada kami.”

Peluang haji tidak menunggu sesiapa

Ramai menyangka mereka akan mula menabung bila ‘duit dah stabil’ tetapi hakikat hidup ialah duit tidak akan pernah stabil jika tiada disiplin.

Peluang haji datang dan pergi hanya kerana kita tidak bersedia.

Mulakan walaupun dengan jumlah kecil. Utamakan daruriyyat. Kurangkan tahsiniyyat tanpa kompromi.

Jika tidak bertindak hari ini, kita sendiri akan mengulangi nasib 50 peratus yang terlepas peluang.

Kemampuan bukan kewangan sahaja, kesihatan juga amanah

Ramai orang menabung kewangan tetapi lupa ‘menabung’ kesihatan.

Perjalanan haji memerlukan stamina, tenaga dan ketahanan fizikal. Apa gunanya simpanan ada tetapi tubuh tidak lagi kuat?

Amalan gaya hidup sihat seperti bersenam perlu diamalkan dalam persiapan menunaikan ibadah haji.

Kemampuan fizikal juga mesti dibina dari sekarang, bukan setelah usia melangkah senja atau penyakit datang bertandang.

Mulakan hari ini walaupun sedikit. Kerana Allah melihat usaha, bukan jumlahnya.

Dan apabila tiba masanya kaki menjejak Tanah Suci, barulah kita sedar setiap ringgit yang disimpan, setiap kehendak yang kita tahan, adalah doa yang Allah makbulkan satu persatu.

Haji itu jauh tetapi bagi hati yang bersungguh, haji sentiasa dekat.

PROF MADYA DR MUHAMMAD NAJIB ABDULLAH & DR SYARYANTI HUSSIN

PROF MADYA DR MUHAMMAD NAJIB ABDULLAH & DR SYARYANTI HUSSIN

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button