Ketua Pemuda PN namakan 5 calon PM
CYBERJAYA – Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Afnan Hamimi Taib Azamudden menamakan lima pemimpin komponen itu sebagai calon perdana menteri untuk PRU16.
Beliau yang muncul pada program audio siar Harakah Daily Dari Jalan Pahang baru-baru ini, menamakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Datuk Idris Ahmad sebagai pilihan ke jawatan itu jika pembangkang menang PRU akan datang.
Beliau turut menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai wakil tunggal dari BERSATU.
“Kalau tanya saya, Pas lah sebab paling ramai Ahli Parlimen tetapi kalau tanya kepada PN, saya kata ketua pembangkang, Hamzah.
“Kalau dari Pas, Marang (Hadi) pernah jadi menteri besar dan boleh jadi perdana menteri… timbalan presiden Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) pun pernah dalam Kabinet.
“Naib presiden Ahli Parlimen Kemaman (Samsuri) sekarang jadi menteri besar Terengganu dan pernah ketuai kerajaan negeri boleh jadi perdana menteri, begitu juga Idris Ahmad (Bagan Serai) pernah jadi menteri,” katanya dalam program itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai calon perdana menteri dari PN yang sering dibangkitkan susulan penganjuran perhimpunan pembangkang di Kuala Lumpur, 26 Julai lalu.
Perhimpunan itu diadakan untuk mendesak Perdana Meteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur daripada jawatannya sekarang.
Ketika mengulas lanjut, Afnan berkata, cabaran besar buat PN dalam menghadapi PRU akan datang adalah untuk membentuk pasukan yang kuat bagi mentadbir sekiranya menang.
Beliau turut mendakwa, kekuatan PN juga membuka serangan daripada musuh termasuk melaga-lagakan Pas dan BERSATU dengan menimbulkan isu remeh seperti ketiadaan Pas pada pertemuan Muhyiddin dengan parti luar kerajaan untuk membentuk Barisan Pembangkang Bersatu, bulan lalu.
“Tiada masalah hubungan dalam kalangan Ahli Parlimen PN,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








