Aktiviti, mesyuarat guna nama PN perlu keizinan Pengerusi
KUALA LUMPUR – Sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan keizinan Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang mengesahkan perubahan kepimpinan gabungan tersebut.
Katanya, JPMM mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi (MT) terhadap peletakan jawatan pengerusi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan pelantikan pengerusi baharu (Samsuri) pada mesyuarat luar biasa bertarikh 22 Feb lalu.
“JPPM juga mengesahkan menerima senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa MT PN baharu, untuk direkodkan.
“Sehubungan itu, PN kekal komited dalam memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832 (Akta Pertubuhan 1966),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial bahawa BERSATU akan mengadakan mesyuarat MT PN malam ini di ibu pejabat parti itu.
Hari ini, Ketua Penerangan PN, Annuar Musa berkata MT PN akan bermesyuarat Isnin ini bagi memutuskan penggunaan logo serta pengagihan kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Kemelut dalam PN semakin memuncak selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan BERSATU.
Walaupun berdepan perpecahan, Muhyiddin selaku Presiden BERSATU, menegaskan partinya akan terus kekal dalam PN dan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada mana-mana parti boleh secara unilateral menyingkirkan parti berkenaan daripada PN kerana sebarang keputusan mesti dibuat secara konsensus selaras dengan perlembagaan gabungan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







