Reman pelajar kolej kes bayi maut dilanjutkan sehari
KLUANG – Tempoh reman seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang disiasat berhubung kes kematian bayi perempuan dengan beberapa kesan tikaman di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara di sini, disambung sehari lagi sehingga esok.
Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman di Mahkamah Majistret Kluang bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lanjutan reman berkenaan diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan kes.
“Suspek dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan lanjutan reman selepas reman pertama berakhir hari ini. Mahkamah membenarkan suspek disambung reman sehari lagi,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, pelajar terbabit direman selama tujuh hari bermula 30 Julai hingga hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata polis menahan pasangan kekasih yang juga pelajar kolej, masing-masing berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes terbabit.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1 tengah hari berhubung seorang pelajar dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) selepas melahirkan anak.
Menurut Ab Rahaman, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan ditemukan oleh tenaga pengajar kolej terbabit, manakala pemeriksaan lanjut di HEBHK mendapati terdapat seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar perempuan itu yang kemudiannya selamat dilahirkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








