POLITIK

Pembangunan Sri Sendayan perlu seimbang dengan keperluan rakyat

SEREMBAN – Pembangunan pesat Bandar Sri Sendayan perlu diseimbangkan dengan penyediaan kemudahan asas supaya manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, khususnya generasi kedua, ketiga dan keempat Felda Sendayan.

Sehubungan itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi berkata, beliau akan memfokuskan pembangunan infrastruktur yang lebih berkesan buat golongan tempatan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.

Beliau berkata, tiga keutamaan yang telah dikenal pasti termasuk penyediaan rumah mampu milik untuk anak tempatan, sistem trafik pintar dan pembinaan lebih banyak sekolah.

“Bandar Sri Sendayan berkembang begitu pesat, tetapi masih ramai anak Felda Sendayan tidak mampu memiliki rumah di kawasan ini. Sebab itu saya mahu memperkenalkan Projek Rumah Harapan bagi membantu mereka memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Projek Rumah Harapan merupakan projek pembinaan yang menawarkan kediaman mampu milik pada harga antara RM50,000 hingga RM150,000 dengan keutamaan kepada anak jati Sendayan.

Dr Azizul berkata, kira-kira 500 keluarga daripada generasi peneroka Felda Sendayan dikenal pasti berdepan kesukaran memiliki rumah susulan kenaikan harga hartanah dan kadar sewa.

Selain isu perumahan, beliau berkata, kesesakan lalu lintas akibat pertambahan penduduk dan pergerakan harian ke Nilai, Sepang serta Lembah Klang memerlukan penyelesaian segera melalui penggunaan sistem lampu isyarat pintar yang boleh melaras tempoh lampu hijau dan merah mengikut aliran trafik.

Beliau turut berjanji membawa isu kekurangan sekolah di Bandar Sri Sendayan ke perhatian Kementerian Pendidikan, memandangkan kawasan itu mencatat pertambahan kira-kira 12,000 penduduk dalam tempoh lima tahun, namun kapasiti sekolah tidak berkembang seiring.

“Saya mahu pembangunan Bandar Sri Sendayan bukan hanya tertumpu kepada projek fizikal, tetapi turut meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi penyediaan rumah mampu milik, kemudahan pendidikan yang mencukupi dan sistem pengangkutan yang lebih cekap,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button