Wechat, TikTok dan Telegram sudah dilesenkan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Tiga pengendali perkhidmatan pesanan internet dan media sosial sudah dilesenkan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), setakat 31 Ogos lalu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, tiga syarikat itu ialah WeChat International Private Limited, TikTok Private Limited dan Telegram Messenger Incorporated.
Beliau bagaimanapun berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih lagi meneruskan perbincangan bersama platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) serta Google (YouTube) untuk didaftarkan.
“Platform X pula memaklumkan jumlah penggunanya di negara ini tidak mencapai nilai ambang 8 juta untuk memenuhi keperluan pelesenan.
“Namun, MCMC sedang menjalankan kajian baharu secara menyeluruh bagi menentukan jumlah pengguna di platform berkaitan di bawah kerangka pelesenan ini dan akan meneliti jika ada keperluan platform termasuk X didaftarkan sebagai pemegang lesen ASP(C),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai perkembangan terkini perbincangan dengan platform media sosial yang belum memperoleh lesen di bawah ASP(C) dan halangan menyebabkan proses itu berlarutan agak lama.
Fahmi berkata, MCMC juga sentiasa mengekalkan komunikasi secara terbuka dengan penyedia perkhidmatan yang masih belum memperoleh ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Proses pelesenan ini memerlukan masa kerana membabitkan penyelesaian pelbagai isu berkaitan pelaksanaan dan penguatkuasaan kerangka pelesenan bersama penyedia perkhidmatan asing berskala besar.
“Perbincangan merangkumi aspek teknikal, operasi dan pematuhan undang-undang kompleks yang memerlukan penelitian terperinci,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








