Suspek letupan IED masih dalam keadaan lemah,tidak bermaya – KP Negeri Sembilan
SEREMBAN – Suspek utama kejadian letupan peranti buatan sendiri (IED) di kawasan Desa Palma, Nilai pada 22 Dis lalu masih berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, lelaki yang dikenali sebagai ‘Ayang’ berusia 62 tahun itu yang kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.
“Seperti dalam laporan media yang saya buat sebelum ini, suspek ketika ditahan sememangnya berada dalam keadaan tidak bermaya dan telah menerima rawatan di zon merah HTJ.
“Saya difahamkan dia kini telah dipindahkan ke wad dan keadaannya stabil, namun tidak bermaya kerana kecederaannya dikategorikan sebagai serius,” katanya selepas Majlis Peluncuran Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk sama ada suspek bertindak secara bersendirian atau mempunyai kaitan dengan individu lain.
“Bagaimanapun, setakat ini berdasarkan penemuan di lokasi kejadian, rakaman percakapan saksi serta fakta bahawa suspek ditemui bersembunyi di kawasan terpencil jauh dari orang awam, kita masih berpegang yang suspek bergerak secara bersendirian.
“Namun, siasatan masih lagi berjalan dan semua kemungkinan lain tidak diketepikan motif kejadian juga masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, suspek itu berjaya ditahan di Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang, Sabtu lalu dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan serta kaki.
Suspek kini direman selama seminggu hingga 3 Januari depan.
Suspek turut dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




