JENAYAH & MAHKAMAH

Polis berjaya selamatkan kanak-kanak dipercayai diculik, tahan enam individu

KLANG – Polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan yang sebelum ini dilaporkan hilang di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa berumur 12 tahun itu ditemui dalam keadaan selamat kira-kira pukul 2.30 petang pada Sabtu.

Tambahnya, susulan kejadian, pihaknya telah menahan enam individu termasuk dua wanita bagi siasatan lanjut berhubung kejadian.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan seorang diri sebelum dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai diculik daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat kemudiannya membawa kepada serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi antaranya Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran pada Sabtu.

“Operasi bermula jam 5 petang itu dijalankan sepasukan anggota polis Cawangan D8 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

“Susulan itu, seramai enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berumur lingkungan 13 hingga 23 tahun berjaya diberkas,” katanya.

Hoong Fong berkata, serbuan sama turut merampas kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Semakan mendapati salah seorang suspek didapati memiliki satu rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun selepas keluar dari rumahnya Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, ibu mangsa difahamkan menyuruh anaknya itu untuk mengambil makanan di dalam kereta yang diparkir di bawah rumah flat terbabit bagaimanapun mangsa tidak pulang selepas itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button