BERITA SEMASA

FHMAPK 2026: Seni halus tanah liat abadikan kisah warisan negara

JOHOR BAHRU – Keunikan warisan Malaysia bukan sahaja dapat dihayati melalui bangunan bersejarah, makanan tradisional atau pakaian kebangsaan malah turut diabadikan dalam bentuk miniatur yang cukup halus serta memukau.

Melalui Pameran Yenji Clay Art: Miniatur Malaysia, pengunjung berpeluang menyaksikan koleksi model berskala kecil yang menampilkan kepelbagaian warisan, budaya serta gastronomi negara dengan sentuhan seni tanah liat yang penuh teliti.

Setiap hasil karya dihasilkan dengan perincian yang begitu halus mengangkat identiti Malaysia menerusi pendekatan kreatif dan kontemporari.

pameran
Antara tarikan utama ialah miniatur buah-buahan tempatan menggunakan tanah liat yang kelihatan seperti buah sebenar.

Antara tarikan utama ialah miniatur makanan tradisional pelbagai kaum yang menggambarkan kekayaan gastronomi Malaysia, elemen budaya serta kehidupan masyarakat mencerminkan kepelbagaian etnik di negara ini.

Keistimewaan karya-karya tersebut terletak pada ketelitian pembuatannya, daripada tekstur makanan sehingga ukiran seni bina yang menyerupai objek sebenar sekali gus membuktikan bahawa seni miniatur memerlukan kesabaran, kreativiti dan kemahiran yang tinggi.

Eksekutif Pemasaran Yenji Clay Art, Nurul Aizah Ishak berkata, antara keistimewaan produk Yenji Clay Art adalah tanah liat yang digunakan untuk membikin karya-karya berkenaan dibangunkan sendiri oleh pengasas Yenji Clay Art.

“Terdapat kelainan pada tekstur tanah liat yang dibangunkan sendiri ini dan karya-karya akan kelihatan seperti objek real ataupun hidup. Sebagai contoh, kalau lihat pada pameran ini terdapat bunga yang kelihatan seperti bunga hidup.

“Pada kebiasaannya, satu projek seperti Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 ini akan mengambil masa dalam tempoh satu bulan untuk menyiapkan tempahan.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada tempahan kerana setiap produk yang dihasilkan adalah buatan tangan,” katanya.

pameran
Seorang pengunjung kanak-kanak mencuba mesin ais batu campur tradisional yang dipamerkan.

Selari dengan semangat FHMAPK 2026, pameran tersebut membuktikan bahawa muzium dan seni mampu menjadi jambatan menghubungkan masyarakat dengan sejarah serta identiti negara melalui pendekatan yang segar dan inovatif.

Sementara itu, reruai-reruai lain yang menjadi tarikan para pengunjung FHMAPK 2026 termasuk Muzium Nelayan Tanjung Balau dengan tema Kelong: Mahligai Warisan Nelayan.

Pengunjung akan dibawa mengenali peranan kelong sebagai nadi kehidupan masyarakat pesisir yang menghubungkan dunia darat dan laut, selain mencerminkan kebijaksanaan tradisi maritim tempatan.

Pameran tersebut mengetengahkan sejarah pembinaan kelong, fungsi dalam aktiviti perikanan serta nilai budaya yang terus dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti komuniti nelayan di Malaysia.

pameran
Pameran ini membuktikan bahawa muzium dan seni mampu menjadi jambatan menghubungkan masyarakat dengan sejarah serta identiti negara melalui pendekatan yang segar dan inovatif.

Selain itu terdapat juga reruai Muzium Layang-Layang menterjemah perjalanan warisan budaya Malaysia yang bermula daripada akar tradisi dan kearifan tempatan (Tanah) sehingga menjadi simbol identiti, aspirasi dan kemajuan negara (Langit).

Gabungan elemen seramik dan wau merak Johor menggambarkan kekayaan seni warisan yang diwarisi turun-temurun serta peranan budaya dalam membentuk jati diri rakyat.

Reruai-reruai lain yang menarik ialah Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Lembaga Muzium Negeri Kedah, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan banyak lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button