Kecemerlangan Aeroangkasa: MRSM Arau juara MYAERO Challenge 2026
SERDANG – Kontinjen Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau mendominasi pertandingan MYAERO Challenge Kebangsaan 2026 yang berlangsung di MAEPS, Serdang, selepas menyapu bersih beberapa kategori utama dalam acara yang berakhir semalam.
MRSM Arau menzahirkan rasa bangga atas komitmen dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang pertandingan berlangsung.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga MRSM Arau untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang STEM, inovasi, dan teknologi di peringkat yang lebih tinggi.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta serta guru penasihat yang telah memberikan sokongan padu tanpa lelah sepanjang pertandingan ini,” jelas kenyataan tersebut menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya.
Dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Jun itu, pasukan MRSM Arau mempamerkan prestasi luar biasa apabila mendominasi kategori Aeroflight Master Precision Performance Glider dan Aeroflight Master Endurance Flight Glider.
Muhammad Faris Amsyar Abdul Manaf dan Adam Izz Zaquan Shahrizan muncul sebagai wira apabila merangkul gelaran juara dalam kedua-dua kategori tersebut di bawah bimbingan guru penasihat, Ustaz Mohamad Sofian Hussain.
Kecemerlangan itu diteruskan oleh gandingan Wilda Nur Falisha Muhammad Munif dan Nur Dina Aisyah Adnan yang masing-masing membawa pulang tempat keempat dalam kategori Precision Performance serta tempat ketiga bagi kategori Endurance Flight Glider, hasil bimbingan Cikgu Nur Sakinah Amir Hakim.
Dalam pada itu, bagi kategori Disruptive UAV Challenge, pasukan MRSM Arau yang dianggotai oleh Muhammad Isma Haziq Jamil, Aqiel Refael Narzrezal, Muhammad Emmir Uzair Mohamad Farid, dan Dhia Afrina Abdul Shafi berjaya meraih kedudukan naib johan.
Pihak pengurusan MRSM Arau menyifatkan kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen, kreativiti, dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang tempoh persiapan hingga ke hari pertandingan.
Menurut kenyataan pihak pengurusan maktab, walaupun pasukan yang menyertai kategori Propulsion Turbine Engine Challenge belum berpeluang menaiki podium, penyertaan tersebut dianggap sebagai satu pelaburan pengalaman yang sangat berharga bagi membentuk jati diri pelajar dalam bidang STEM.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga MRSM Arau untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang STEM, inovasi, dan teknologi di peringkat yang lebih tinggi,” jelas kenyataan tersebut.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama MRSM Arau, malah membuktikan bahawa pelajar sekolah berasrama penuh mampu bersaing dan menguasai bidang aeroangkasa di peringkat kebangsaan.
Pihak maktab turut menegaskan bahawa kegagalan dalam mana-mana kategori tidak harus mematahkan semangat, sebaliknya ia perlu dijadikan batu loncatan untuk kembali lebih mantap pada edisi akan datang selaras dengan hasrat melahirkan modal insan yang inovatif dan berdaya saing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








