Pencarian MH370: Jemaah Kabinet setuju Ocean Infinity diberi kontrak lanjutan selama setahun
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan kontrak pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 oleh Ocean Infinity selama setahun mulai 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, lanjutan itu berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2027 dengan semua terma dan syarat sedia ada, termasuk prinsip ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ di mana firma berpangkalan di UK itu hanya akan dibayar USD70 juta (RM284.61 juta) jika bangkai pesawat terbabit ditemukan.
“Keputusan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memberikan pengakhiran yang amat dinantikan keluarga waris penumpang pesawat MH370.
“Kelulusan pelanjutan tempoh ini bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54km persegi diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anthony Loke berkata, lanjutan itu turut mengambil kira komitmen komersial baharu yang diterima Ocean Infinity yang memerlukan aset pencarian utamanya ditempatkan semula di lokasi lain buat sementara.
Beliau menambah, penempatan semula aset itu hanya boleh dilakukan mulai November ini hingga April depan ketika keadaan laut tidak bergelora bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan pencarian.
Perjanjian asal misi pencarian baharu ditandatangani pada 25 Mac 2025, dengan Ocean Infinity memulakan pencariannya pada 25 Feb tahun sama.
Pencarian dijalankan dalam dua fasa, namun masih gagal menemukan pesawat malang itu.
Kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 anak kapal dan penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 masih menjadi misteri terbesar dalam dunia penerbangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












