POLITIK

PRN Johor: Anwar seru pengundi pilih masa depan lebih baik untuk generasi akan datang

BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Johor supaya memanfaatkan peluang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan sebaik mungkin demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu mereka.

Menurut Perdana Menteri, setiap keputusan yang dibuat oleh pengundi pada pilihan raya kali ini akan menentukan hala tuju pembangunan serta kesejahteraan negeri pada masa hadapan.

“Kita mahu generasi akan datang menikmati kehidupan yang lebih baik daripada apa yang kita kecapi hari ini. Sebab itu kita perlu melakukan perubahan supaya Johor terus maju dan berkembang,” katanya ketika berucap pada program ‘Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan’ di Banang Jaya, di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau memimpin negara tanpa mengira fahaman politik negeri-negeri yang menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan dan bantuan terus disalurkan kepada negeri-negeri termasuk yang ditadbir pembangkang kerana keutamaan kerajaan adalah kebajikan rakyat.

“Di Johor, kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit bagi melaksanakan projek tebatan banjir dan sebahagian projek itu sudah pun bermula.

“Begitu juga di Kelantan. Walaupun mereka tidak menyokong saya, bantuan tetap diberikan kerana rakyat di sana berdepan kesukaran dan memerlukan pembelaan,” katanya lagi.

Beliau berkata, pendekatan tersebut membuktikan kerajaan tidak meminggirkan mana-mana negeri atau rakyat hanya kerana perbezaan politik.

“Perpaduan antara kaum merupakan asas penting bagi memastikan negara terus aman dan makmur.

“Kalau kita mahu negara ini aman dan maju, kita mesti menjaga semua rakyat tanpa mengira kaum. Melayu, Cina dan India perlu hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya lagi.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil serta calon-calon PH yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Senggarang, Semerah dan Rengit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button