Kes penerokaan mineral di Sabah babitkan Farhash selesai, ditutup – Azam Baki
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.
“Siasatan kita dijalankan dengan memanggil semua yang terbabit, termasuk merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri serta pihak lain yang dikaitkan.
“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya membuat keputusan tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan mahupun isu tadbir urus. Maka, kes ini ditutup,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya serta Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Yuhafiz Mohd Salleh.
Sebelum ini, nama Farhash dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa dalam urusan penerokaan mineral di Sabah, namun SPRM menegaskan semua pihak yang berkaitan telah dipanggil dan tiada unsur rasuah atau salah laku ditemui.
Azam turut menegaskan, keputusan menutup kes ini membuktikan setiap siasatan dijalankan secara telus tanpa campur tangan politik.
“SPRM hanya melengkapkan siasatan, keputusan akhir sama ada untuk mendakwa atau tidak terletak di tangan Timbalan Pendakwa Raya. Dalam kes ini, jelas tiada asas untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








