LUAR NEGARA

Bekas menteri Nigeria dipenjara 75 tahun kerana rasuah, cuci wang RM100 juta

ABUJA – Bekas Menteri Tenaga Nigeria, Saleh Mamman dijatuhi hukuman penjara 75 tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram membabitkan 33.8 bilion naira (kira-kira RM100 juta), baru-baru ini.

Menurut laporan BBC News, keputusan mahkamah itu disifatkan jarang berlaku terhadap pegawai tinggi kerajaan di negara Afrika Barat itu.

Mahkamah Tinggi di Abuja minggu lalu mensabitkan Mamman atas 12 pertuduhan termasuk menggunakan syarikat swasta untuk menyalurkan dana berkaitan projek loji janakuasa yang dibiayai kerajaan.

Bekas menteri berusia 68 tahun itu dijatuhi hukuman secara in absentia pada Rabu selepas dilaporkan menghilangkan diri sejurus selepas sabitan dibuat.

Suruhanjaya Jenayah Ekonomi dan Kewangan Nigeria (EFCC) berkata, Mamman kini ‘tidak dapat dikesan’ dan berada ‘di luar radar pihak berkuasa’ sejak keputusan mahkamah diumumkan.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Abuja turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Mamman yang pernah menerajui Kementerian Tenaga Nigeria dari 2015 hingga 2021 di bawah pentadbiran bekas Presiden Muhammadu Buhari.

Menariknya, hanya beberapa minggu sebelum dijatuhi hukuman, beliau masih mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Gabenor Negeri Taraba pada pilihan raya 2027 mewakili parti pemerintah, All Progressives Congress (APC).

Dalam hantaran di media sosial, Mamman berkata, beliau telah memperoleh borang pencalonan bagi merebut jawatan itu atas dasar ‘tanggungjawab dan komitmen terhadap negeri’.

Sepanjang memegang portfolio tenaga, pentadbiran Buhari sebelum ini berjanji untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Mamman akhirnya digugurkan daripada kabinet menerusi rombakan kerajaan selepas Buhari mengarahkan semakan dalaman yang disifatkan sebagai ‘bebas dan kritikal’.

Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengarahkan Mamman memulangkan semula 22 bilion naira (kira-kira RM65 juta) kepada kerajaan Nigeria.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button