BERITA SEMASA

Rasuah dalam angkatan tentera hanya sekelumit daripada yang berlaku – Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa usaha memburu perasuah akan diperhebatkan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan, kerana baginda yakin masih ramai lagi perasuah yang belum dibongkar.

“Ia hanyalah sekelumit atau ‘tip of the iceberg’. Saya yakin masih ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya termasuk juga yang berada dalam Dewan Rakyat yang akan terus diburu sehingga ditemui,” titah baginda dalam Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di sini hari ini.

Justeru baginda menekankan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas, dan sempurna.

Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan perlu menyediakan hakim berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan segera.

“Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran. Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.

“Bukan sahaja penerima rasuah yang patut disiasat, tetapi pemberi rasuah serta agensi yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap kes melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibongkar baru-baru ini.

“Saya pernah sebut dahulu, saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya. Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sehingga peringkat tertinggi.

“Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT),” titah baginda.

Baginda mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.

“Jika anda menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, anda adalah pengkhianat negara,” titah Baginda lagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat ke Dataran Parlimen untuk menerima sembah hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi, sebelum menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button