PM perjelas keputusan Mesyuarat Khas Kabinet mengenai hasil Sabah di Parlimen Esok
PUTRAJAYA – Mesyuarat khas Jemaah Menteri yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri semalam memutuskan secara konsensus untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.
Perkara itu akan diperjelas dengan lebih terperinci oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen esok.
“Semalam, Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat khas untuk mempertimbangkan keputusan penghakiman di Kota Kinabalu.
“Selepas berjam-jam berdengar pandangan semua ahli, kami membuat keputusan secara konsensus.
“Isu 40 peratus hasil mengikut Perkara 112C dan 112D tidak akan dirayu namun perkara lain berkaitan penghakiman akan dijelaskan di Parlimen esok,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Anwar turut menekankan bahawa kejayaan negara kini adalah hasil kerja berpasukan dan penglibatan rakyat secara menyeluruh.
“Ringgit mencatat prestasi terbaik di Asia, kadar pengangguran terendah dalam 10 tahun serta pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia merdeka.
“Semua ini berkat kerjasama rakyat, Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta,” tambah beliau.
Semalam, media melaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah, namun Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan kerajaan akan segera memulakan proses rundingan dengan Kerajaan Sabah.
Pada masa sama, kerajaan akan membuat rayuan terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman bagi kes berkenaan selepas menerima nasihat AGC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








