BERITA SEMASADALAM NEGERI

AGC fokus rundingan, rayuan kekhilafan alasan penghakiman isu 40 peratus Sabah

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri itu.

Menurut AGC, rayuan berkenaan difailkan semalam dan hanya tertumpu kepada beberapa kekhilafan yang dikenal pasti dalam Alasan Penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

AGC memaklumkan, antara dapatan penghakiman yang dipersoalkan ialah dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan Perlembagaan.

“AGC sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil.

“Sebaliknya, rundingan bersama kerajaan negeri Sabah akan diteruskan sesegera mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AGC sebelum ini menjelaskan Peguam Negara telah memberikan nasihat kepada Jemaah Menteri berhubung beberapa kecacatan yang wujud dalam alasan penghakiman tersebut.

Antara yang dikemukakan termasuk dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah melakukan penyalahgunaan kuasa sejak 1974, selain kenyataan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, mempunyai ketidakaturan prosedur dan tidak berkadaran.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk menjalankan semakan serta membayar hak tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah sebagaimana termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS).

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid turut mengarahkan semakan kadar pemberian khas diselesaikan dalam tempoh 90 hari dan persetujuan pembayaran dicapai dalam masa 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button