UMNO simpati nasib hampir 100 pekerja Utusan Malaysia, Kosmo! bakal diberhentikan
TELOK MAS – UMNO bersimpati dengan nasib kira-kira 100 pekerja dan wartawan Utusan Malaysia serta Kosmo! yang berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan susulan langkah rasionalisasi syarikat media berkenaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya percaya undang-undang sedia ada perlu menjadi saluran bagi memastikan kebajikan pekerja terbabit terus dilindungi dan tiada pihak teraniaya.
Beliau berkata, simpati wajar diberikan kepada mana-mana individu yang berdepan situasi kehilangan pekerjaan, termasuk kakitangan syarikat media berkenaan.
“Saya percaya soal orang kena berhenti kerja, kita ada undang-undang dan kita menyokong dan kita simpati. Memanglah amat simpati dalam soal-soal siapa pun yang kena berhenti kerja dan sebagainya.
“Dan saya percaya saluran undang-undang wajar dipakai untuk memastikan tidak ada sesiapa teraniaya dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Baca juga : Kemelut Utusan, Kosmo!: Tun Faisal gesa tangguh keputusan pemberhentian pekerja
Sebelum ini, Ketua Pegawai Kewangan yang juga Pengarah Media Mulia Sdn Bhd (Media Mulia), Abd Wahid Idris dalam kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia memaklumkan, langkah rasionalisasi itu diambil susulan perubahan landskap industri media yang kini lebih memberi tumpuan kepada platform digital.
Beliau berkata, langkah berkenaan membabitkan hampir 100 kakitangan menerusi Program Cuti Berbayar.
Program itu difahamkan bermula dengan tempoh cuti berbayar selama tiga bulan bermula November ini.
Selepas tamat tempoh berkenaan, pekerja terbabit berkemungkinan ditamatkan perkhidmatan menerusi pemberhentian kerja (retrenchment) atau skim pemberhentian bersama (mutual separation scheme).
Dalam perkembangan berkaitan, Media Mulia Sdn Bhd digesa menangguhkan sebarang keputusan pemberhentian pekerja yang terlibat dalam Program Cuti Berbayar (Paid Leave Programme) sehingga penyelesaian menyeluruh dicapai berhubung kemelut yang membabitkan syarikat berkenaan.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, langkah itu penting bagi memastikan pekerja mendapat penjelasan sewajarnya mengenai kedudukan, hak serta masa depan pekerjaan mereka.
“Rundingan secara telus mesti diadakan terlebih dahulu supaya pekerja mendapat penjelasan mengenai kedudukan, hak dan masa depan pekerjaan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














