BERITA SEMASA

Kemelut Utusan, Kosmo!: Tun Faisal gesa UMNO campur tangan segera

KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO digesa campur tangan segera bagi menyelesaikan kemelut di Media Mulia Sdn Bhd yang menjejaskan operasi Utusan Malaysia dan Kosmo! termasuk mencari jalan mengelakkan pemberhentian pekerja.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Abdul Aziz berkata, langkah segera perlu diambil bagi memastikan kebajikan pekerja yang terjejas terus terbela, termasuk dengan meminta Media Mulia menangguhkan sebarang keputusan pemberhentian.

“Adakah MKT Umno sekadar berpeluk tubuh dan melihat sahaja apa yang berlaku?

“Apapun langkah pertama dan tindakan paling segera yang sepatutnya MKT dan pemimpin UMNO ambil adalah mencari jalan agar Media Mulia menangguhkan sebarang keputusan pemberhentian pekerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bersama hantaran tersebut, beliau turut memuat naik petikan artikel yang menunjukkan suasana pilu di Utusan selepas hampir 100 pekerja menerima surat cuti berbayar sebelum diberhentikan.

suara tv
Tangkap layar artikel Suara TV yang memaparkan keadaan pilu di pejabat Utusan hari ini susulan pekerja yang menerima surat cuti berbayar sebelum diberhentikan. 

Menurutnya, langkah seterusnya ialah pemimpin UMNO mengadakan pertemuan segera dengan kerajaan, khususnya Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bagi meneroka semua pilihan untuk menyelamatkan pekerja yang terlibat.

Tun Faisal berkata, UMNO juga perlu berbincang dengan pihak Media Mulia atau syarikat berkaitan parti itu dan pemimpinnya bagi merangka penyelesaian jangka panjang, termasuk penempatan semula pekerja yang terjejas.

“Pengalaman serta kepakaran warga Utusan Malaysia dan Kosmo! perlu dimanfaatkan dengan membuka peluang pekerjaan dalam bidang digital, multimedia, penerbitan dalam talian serta operasi anak syarikat Media Mulia dan syarikat berkaitan UMNO,” katanya.

Beliau berpandangan UMNO, sebagai salah sebuah parti dalam kerajaan, sepatutnya mempunyai pelbagai pilihan dan sumber untuk membela dan menyelamatkan pekerja kedua-dua organisasi media berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button