BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

JKDM Kelantan gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai lebih RM10 juta

RANTAU PANJANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 102 kilogram bunga ganja bernilai lebih RM10 juta dalam dua serbuan berasingan di sini pada Rabu lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan dilakukan di kawasan Zon Bebas Cukai dan Hentian Bas Rantau Panjang, melibatkan penahanan tiga individu termasuk dua wanita.

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan pada pukul 10.30 pagi di Pintu 1 Zon Bebas Cukai selepas anggota penguat kuasa menemui tiga beg yang ditinggalkan, masing-masing mengandungi 88 paket plastik lutsinar disyaki berisi bunga ganja.

“Dalam masa sama, seorang wanita yang menunggang motosikal bersama sebuah beg turut diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 32 paket plastik lutsinar disyaki mengandungi bahan sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua rampasan serta suspek wanita itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.

Wan Jamal berkata, siasatan ke atas wanita berkenaan membawa kepada serbuan susulan di Hentian Bas Rantau Panjang yang menyaksikan rampasan dua lagi beg mengandungi 60 paket plastik lutsinar disyaki bunga ganja.

“Dalam serbuan kedua itu, dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita turut ditahan,” ujarnya.

Secara keseluruhan, rampasan melibatkan enam beg berisi 180 paket plastik lutsinar dengan anggaran berat 102.178 kilogram.

Modus operandi sindiket dipercayai menyeludup bunga ganja melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui Zon Bebas Rantau Panjang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button