Ibu pelatih PALAPES UTM mahu AGC ambil tindakan segera
Bedah siasat kedua temukan bukti kecederaan pada leher
KUALA LUMPUR – Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mengambil tindakan serta-merta selepas laporan bedah siasat kedua mengesahkan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu adalah akibat kecederaan leher.
Ummu Haiman Bee, 45, berkata, segala syak wasangka yang selama ini terbuku di hatinya, kini terbukti benar.
“Ia kini terbukti, apa yang saya nampak dan apa yang saya rasakan ketika itu. Laporan bedah siasat kedua ini menunjukkan banyak kecederaan pada leher, tepat seperti apa yang saya curigai semasa bedah siasat pertama.
“Alhamdulillah, ia telah terbukti. Memang menyakitkan hati,” katanya kepada pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.
Beliau sebelum ini mendakwa, dihalang daripada memeriksa dengan teliti bahagian kanan leher anaknya semasa bedah siasat pertama di Hospital Kota Tinggi, Johor, pada 28 Julai lalu.
Ibu kepada tiga anak itu berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan penemuan berkenaan.
Beliau berkata keluarga mahu keadilan untuk Allahyarham dan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







