JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota bomba didakwa memandu secara cuai hingga cedera kanak-kanak

BACHOK – Seorang anggota bomba didakwa di Mahkamah Majistret Bachok hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan parah dalam kejadian pada 3 Januari lalu.

Tertuduh, Mohammad Shuhaili Shuib, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memandu Toyota Innova secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap Nur Afia Raisha Muhamad Shamsul, 4.

Kejadian berlaku pada jam 10.45 pagi di kawasan parkir Sri Chalet Nipah, Bachok.

Tertuduh didakwa mengikut undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid memohon mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Habil Zainal Abidin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh berpendapatan RM2,000 sebulan dengan isteri bekerja kilang dan menanggung empat anak masih bersekolah, selain menyara ibu bapa tidak bekerja.

Tertuduh yang bekerja di Pulau Pinang turut berdepan kos tinggi bagi keperluan berulang alik ke Kelantan bagi menghadiri prosiding mahkamah ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Ogos ini.

Sebelum ini media melaporkan Nor Afia parah pada bahagian abdomen dan patah bahu kanan, tulang selangka serta tulang rusuk selepas dilanggar ketika menyertai program Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Anak bongsu daripada tiga beradik itu adalah anak kepada seorang anggota bomba wanita yang bertugas di Pahang yang turut menyertai program pada hari kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button