JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tumpas rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, 69 suspek diberkas

KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar kegiatan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian menerusi Ops Cyber Guardian 2026 dengan penahanan 69 individu termasuk dua penjawat awam dalam serbuan besar-besaran awal bulan ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi itu hasil kerjasama antarabangsa melibatkan tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun menerusi serbuan serentak yang dijalankan dari 6 hingga 8 April lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit menggunakan rangkaian digital tersusun bagi mengakses, menyimpan dan mengedar bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) melalui pelbagai platform dalam talian.

“Sebahagian suspek dikenal pasti bertindak sebagai pentadbir kumpulan dengan menawarkan akses kepada bahan berkenaan secara berbayar menggunakan transaksi e-dompet dan kod QR.

“Jenayah ini bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya telah berkembang menjadi aktiviti terancang yang berorientasikan keuntungan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi itu menyasarkan 101 sasaran melibatkan individu, premis dan peranti digital berdasarkan risikan, sebelum membawa kepada penahanan 69 individu berusia antara 15 hingga 66 tahun.

Katanya, pemeriksaan turut membawa kepada rampasan 124 peranti digital termasuk telefon bimbit dan komputer riba serta dua alat permainan seks.

“Sebanyak 498,690 fail digital ditemui merangkumi 204,934 bahan CSAM dan 293,760 bahan pornografi dewasa.

“Bahan tersebut dipercayai diperoleh daripada laman web luar negara sebelum dikumpul, dipromosi dan dijual semula kepada pelanggan bagi meraih keuntungan,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini pihak polis belum dapat mengesahkan sama ada kandungan berkenaan dihasilkan dalam negara, namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber serta rangkaian yang terlibat.

Sebanyak 67 kertas siasatan telah dibuka di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Daripada jumlah itu, 62 kes telah didakwa membabitkan 62 tertuduh dengan 81 pertuduhan, manakala dua individu telah dijatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga tujuh bulan,” katanya.

Mohd Khalid turut memaklumkan aplikasi Telegram dikenal pasti sebagai antara medium utama digunakan suspek berikutan ciri privasi yang tinggi, namun penggunaan platform lain juga tidak ditolak dan masih dalam siasatan.

Beliau menegaskan komitmen polis untuk terus membanteras kegiatan itu serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button