BERITA SEMASAPMX

Konduktor orkestra ketuai persembahan malam gala ASEAN meninggal dunia, PM rakam takziah

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional yang terkenal dengan bakat luar biasa dan dedikasi tinggi dalam memperkukuh muzik tradisional negara.

Allahyarham Mohd Yazid sebelum ini mengetuai persembahan orkestra semasa Majlis Makan Malam Gala ASEAN baru-baru ini, memperlihatkan kebolehannya menggabungkan keindahan muzik tradisional dengan semangat patriotik.

Menurut Anwar, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bagi dunia seni tempatan.

“Sesungguhnya Allahyarham bukan sekadar seorang konduktor berbakat, tetapi insan seni berjiwa luhur yang menjadikan muzik sebagai wahana menyatukan hati dan memperindah jiwa bangsa.

“Terima kasih atas segala sumbangan dan bakti Allahyarham dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara. Dedikasinya akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi buat generasi mendatang,” kata Anwar menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Perdana Menteri turut menyatakan simpati terhadap keluarga Allahyarham, terutama memandangkan anakanda beliau dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 1 November ini.

“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang berat ini. Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” tambah beliau.

Allahyarham Mohd Yazid dikenali sebagai tokoh yang memainkan peranan penting dalam memperkenalkan muzik tradisional Malaysia ke pentas serantau dan antarabangsa.

Dedikasinya dalam memartabatkan warisan muzik negara bukan sahaja memberi inspirasi kepada generasi muda, tetapi juga mengukuhkan imej seni budaya tempatan di persada ASEAN.

Masyarakat seni dan pencinta muzik tempatan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar, namun karya serta sumbangan beliau diyakini akan terus dikenang dan dijadikan inspirasi dalam memartabatkan muzik tradisional tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button