KKDW tidak belanja melebihi peruntukan diluluskan – Ahmad Zahid
CYBERJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak akan berbelanja melebihi jumlah peruntukan yang diluluskan kerajaan bagi melaksanakan projek dan program di bawah kementerian berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap perbelanjaan KKDW adalah berdasarkan jumlah yang dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan atau peruntukan yang telah diluluskan.
“Tidak pernah ada sebuah kementerian yang membelanjakan lebih daripada yang diperuntukkan? Apa yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab soalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan).
“Berapa peruntukan yang ada? Mana ada bajet yang cantik. Mana mungkin KKDW akan membelanjakan bajet melebihi daripada apa yang dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan atau apa yang diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.
Baca juga : Anwar arah KKDW, MoF selesaikan isu kelewatan bayaran kontraktor secara baik
Kenyataan berhubung peruntukan KKDW itu susulan isu kelewatan bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kementerian berkenaan, yang sebelum ini dibangkitkan Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid berkata, masalah kelewatan bayaran berkenaan memberi kesan kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan, justeru isu tersebut perlu diselesaikan supaya kelewatan pembayaran tidak berlarutan.
Sementara itu, pada 2 September lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican memaklumkan tidak ada sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar.
Beliau turut memaklumkan keseluruhan peruntukan bagi projek berkenaan telah disalurkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








