Dr. Zaliha saran kuota Petrol 300 liter kepada petugas kesihatan di lapangan
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mencadangkan agar kerajaan mempertimbang pemberian subsidi petrol bersasar sehingga 300 liter sebulan khusus kepada petugas kesihatan awam yang menjalankan tugas di lapangan.
Menurut beliau, cadangan itu dibuat berikutan keperluan mobiliti tinggi dalam kalangan petugas kesihatan yang sering menggunakan kenderaan sendiri bagi urusan rasmi seperti lawatan pesakit kronik, pemantauan penyakit berjangkit serta intervensi kesihatan komuniti.
Katanya, keperluan tersebut memberi kesan langsung terhadap keberkesanan sistem kesihatan awam di peringkat akar umbi dalam memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat terus terpelihara.
“Saya mengambil maklum pandangan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan (MAPSU) berhubung keperluan mengekalkan kuota subsidi petrol sebanyak 300 liter sebulan bagi petugas kesihatan yang melaksanakan tugasan lapangan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol kepada 200 liter sebagai usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara susulan tekanan krisis tenaga global.
Jelasnya, majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelarasan tersebut memandangkan kira-kira 90 peratus pengguna BUDI95 menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pendekatan bersasar bagi memastikan petugas kesihatan yang memerlukan mobiliti tinggi terus mendapat sokongan sewajarnya tanpa menjejaskan matlamat rasionalisasi subsidi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







