KPDN catat rampasan RM263.41 juta, penguatkuasaan diperkasa
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan rampasan keseluruhan berjumlah RM263.41 juta menerusi 6,773 kes hasil pelaksanaan Ops Tiris sejak Mac 2023 hingga 23 April 2026.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 139,551 pemeriksaan dijalankan dengan 2,219 tangkapan direkodkan.
Menurutnya, Ops Tiris dilaksanakan dalam empat fasa dengan tumpuan awal terhadap diesel sebelum diperluaskan kepada petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum.
“Fasa 3.0 mencatat nilai rampasan tertinggi iaitu RM188.22 juta, manakala Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) merekodkan RM16.85 juta dalam tempoh singkat.
“Secara keseluruhan, rampasan barangan kawalan berjumlah RM52.73 juta manakala barangan lain mencecah RM196.36 juta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, penguat kuasa KPDN turut ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Sarawak bagi memperkukuh kawalan sempadan.
“Bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 22 April 2026, sebanyak 124,477 pemeriksaan kenderaan direkodkan dengan 14 kes melibatkan diesel dan petrol dihasilkan, membabitkan nilai rampasan RM143,477.50,” katanya lagi.
Menurutnya, tahun 2026 menyaksikan penguatkuasaan dua peraturan baharu bagi memastikan bekalan barangan bersubsidi kekal mencukupi.
Antaranya larangan penjualan minyak masak paket 1 kilogram kepada bukan warganegara bermula 1 Mac 2026 yang setakat ini menghasilkan tiga kes dengan nilai rampasan RM15,115.
Selain itu, larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April 2026 dengan 31 kes direkodkan sejak 2023 hingga Mac 2026 serta dua kes baharu selepas pelaksanaan penuh.
Tambah beliau, tindakan turut diambil terhadap 94 syarikat melalui penggantungan atau pembatalan lesen, selain 27 pemegang kuota minyak masak di bawah sistem ECOSS dikenakan penarikan kuota.
Dalam perkembangan sama, KPDN mempergiat penguatkuasaan siber dengan menyekat 1,347 laman sesawang serta menurunkan 746 kandungan iklan yang menyalahi undang-undang sepanjang 2025 hingga April 2026.
Lebih 18,000 isu tular turut dipantau bagi mengekang penyelewengan di ruang digital.
Menurut Azman, tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) menyaksikan pembekuan aset berjumlah RM9.92 juta dan sitaan RM5.14 juta.
Ops Hasil pula menyumbang RM23.3 juta kepada kerajaan pada 2025, manakala kompaun dan denda mahkamah secara kolektif melebihi RM21 juta.
Dalam usaha menstabilkan kos sara hidup, KPDN melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) melibatkan lebih 20 barangan dengan kadar pematuhan melebihi 95 peratus.
Melalui Ops Kesan 4.0 dan 5.0, sebanyak 1,443 kertas siasatan dibuka dengan nilai kompaun RM142,200 bagi membanteras pencatutan.
KPDN turut memperkenalkan Kalkulator Anti-Catut bagi membantu peniaga mengira margin keuntungan secara tepat serta meningkatkan ketelusan harga.
Selain itu, Program PATUH 2026 dilaksanakan melibatkan 75 pasar awam, 83 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta 16 zon pelancongan dengan sasaran pematuhan penuh terhadap penandaan harga dan timbangan.
“Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan melalui saluran rasmi bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








