KPDN gagalkan cubaan seludup 8 tan minyak masak ke Thailand
TUMPAT – Cubaan menyeludup lebih lapan tan minyak masak peket bersubsidi ke Thailand terbongkar apabila pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi transit sindiket di Kampung Bunohan, di sini, kelmarin.
Serbuan pada pukul 2.57 petang itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor, hasil risikan dan pemantauan rapi ke atas pergerakan sebuah lori Isuzu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, lori berkenaan telah diekori sejauh lebih 50 kilometer bermula dari Pasir Puteh sebelum memasuki kawasan sebuah rumah yang dipercayai digunakan sebagai pusat pengumpulan sementara minyak masak terbabit.
Menurutnya, beberapa lori lain turut dikesan berada di lokasi sama dan dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran minyak masak dua jenama yang dibawa dari Terengganu.
“Ketika serbuan dilakukan, tiga lelaki termasuk pemandu dan kelindan lori bertindak melarikan diri. Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan 450 kotak mengandungi minyak masak peket bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, nilai minyak masak yang dirampas dianggarkan berjumlah RM20,825, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan RM65,825.
Azman berkata, pihaknya kini giat mengesan salah seorang suspek berusia 31 tahun berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dipercayai tercicir di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








